Friday 30 March 2012

AL-FATIHAH BUAT RAJA ASHMAN, ANAKANDA SULTAN PERAK



NagaMalaya mengucapkan Takziah buat keluarga Diraja Perak di atas kemangkatan Raja Kecil Sulung Perak, Raja Ashman Shah Sultan Azlan Muhibbudin Shah pada jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Berita kemangkatan Raja Ashman juga menarik perhatian pengikut-pengikut tariqat Naqshabandi seluruh dunia selepas blog peribadi pemimpin tariqat tersebut, Sheikh Hashim Kabbani antara yang paling awal menyiarkan berita tersebut. Raja Ashman mangkat sejurus majlis zikir malam tadi.
Raja Ashman dikenali sebagai penaung tariqat Naqshabandi yang amat dihormati di seluruh dunia. Beliau mengadakan majlis zikir di kediaman Bukit Damansara setiap malam Jumaat. Yang mulia Al Marhum Raja Ashman Shah telah diputerakan pada 28 Disember, 1958 di Pulau Pinang, beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah St. John, Kuala Lumpur dan selepas itu melanjutkan pelajaran menengahnya di Leys School, Cambridge, London.
Apabila tamat pelajaran di peringkat menengah,  Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah  melanjutkan pelajaranya dalam bidang jurusan ekonomi sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti of Nottingham pada tahun 1981. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajiannya di dalam undang-undang dan telah mendapat Sarjana Undang-Undang dari Universiti Cambridge dan di Lincoln’s Inn, London.
Sewaktu beliau sedang menimba pengalaman sebagai chambering student dari tahun 1985 hingga 1986, beliau telah bertemu dengan Sheikh Nazim di London. Kandungan, kaedah dan penyampaian ilmu Islam daripada Sheikh Nazim telah menawan hati  Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah , dengan hati yang terbuka dan minda yang cergas, beliau telah memanfaatkan apa yang diperoleh daripada Sheikh Muhammad Nazim al-Haqqani.
NagaMalaya memohon kepada Allah SWT agar memberikan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga Tuanku Sultan Perak, semoga Allah SWT menempatkan Al Marhum  Yang Mulia Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah bersama auliya’ dan solihin, Amin.


-30/3/2012

No comments:

Post a Comment